Friday, August 29, 2008

Melayu dari kacamata TDM : Interview pada 2002

Dipetik dan diadaptasi dari jebatmustdie:

Agak panjang, tapi it's worth to read between the lines

Apa yang patut orang melayu buat?

1 - Yakini diri, kuatkan azam, bersedia untuk susah
2 - Tingkatkan penguasaan bahasa inggeris, kejar ilmu
3 - Tingkatkan daya saing

Lagi senang untuk bercakap dari buat, tapi inilah resipi untuk mengubah budaya melayu!

++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

MINGGUAN: Datuk Seri telah menjadi Presiden UMNO selama 21 tahun, satu tempoh paling lama dibandingkan dengan presiden-presiden UMNO yang lain. Bagaimana Datuk Seri melihat orang Melayu selama 21 tahun Datuk Seri menjadi Presiden, dari mula-mula hingga sekarang.

DR. MAHATHIR: Ada juga kemajuan di kalangan orang Melayu. Tapi ada juga unsur-unsur negatif yang telah muncul dalam UMNO sendiri dan dalam masyarakat Melayu. Hakikatnya ialah kita tidak dapat mencapai matlamat kita iaitu Dasar Ekonomi Baru (DEB). Walaupun ada beberapa orang Melayu yang nampak berjaya baik dalam bidang perniagaan atau profesional, tetapi umumnya tidak ada banyak perubahan - baik dari segi sikap dan nilai-nilai yang dipegang oleh orang Melayu.

Apakah sikap dan unsur-unsur negatif di kalangan orang Melayu?

DR. MAHATHIR: Umpamanya, ramai yang suka mencari jalan mudah untuk menjayakan sesuatu, walaupun jalan yang mudah itu akan membawa akibat buruk dalam jangka panjang. Tidak ada yang serius untuk berusaha. Kita dapati di kalangan penuntut Melayu, walaupun jumlahnya ramai kerana jumlah orang Melayu juga telah meningkat, tetapi keinginan untuk mengejar ilmu agak berkurangan, terutama di kalangan penuntut lelaki.

Dalam bidang perniagaan ada yang betul-betul berusaha dan mencapai kejayaan tetapi lebih ramai yang hanya nampak peluang daripada lesen ataupun kontrak yang diberi oleh kerajaan untuk dijual kepada orang lain.

Datuk Seri menyebut tentang kegagalan mencapai matlamat DEB. Banyak mana yang dapat dicapai?

DR. MAHATHIR: Dulu kita capai sampai 20 peratus tetapi sekarang berkurangan hingga kepada 19 peratus. Daripada 19 peratus itu, 17 peratus adalah yang dimiliki oleh institusi-institusi bumiputera yang diurus oleh kerajaan, bumiputera sendiri cuma memiliki dua peratus. Bukan kerana kita tidak beri, kalau hendak dikira jumlah yang kita beri kepada bumiputera lebih daripada 30 peratus. Tetapi hampir semuanya dijual. Sebab itu kita tidak dapat mencapai matlamat. Sebab orang kita hendak cepat dapat duit. Kalau jual boleh dapat duit cepat. Kalau simpan, tidak merasa.

Apa yang tidak kena dengan orang Melayu? Kenapa mereka jadi begitu?

DR. MAHATHIR: Saya tidak tahu apa nak kata. Kita sudah kata berkali-kali, jangan buat perkara semacam itu, tetapi ada yang datang jumpa saya, minta lesen dan kontrak. Mereka kata, “Saya susah, bagilah pada saya peluang.” Tapi dia beri juga kepada orang lain.

Matlamat DEB gagal dicapai walaupun sesudah 30 tahun. Ertinya, dasar diskriminasi positif pun gagal mengubah orang Melayu. Jadi, apa yang perlu dibuat?

DR. MAHATHIR: Itu orang Melayu patut tanya pada diri mereka sendiri, apa yang patut mereka buat. Saya sudah tunjuk apa yang patut mereka buat, tapi mereka masih juga hendakkan tongkat, hendak subsidi, hendak diberi keistimewaan.

Datuk Seri, kalau kita tarik balik subsidi dan hak istimewa itu, apakah orang Melayu akan mengubah sikap mereka?

DR. MAHATHIR: Itu kita sudah kata, umpamanya kita hendak benarkan 10 peratus bukan Melayu ke dalam Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan program matrikulasi, itu pun orang kita tak sanggup. Kita hendak dikelilingi dengan satu kubu supaya orang lain tidak boleh masuk. Esok, kalau kita kena keluar dari kubu kita, kita tak boleh berperang dengan orang.

Apakah Datuk Seri rasa orang Melayu sudah bersedia untuk menghadapi persaingan tanpa perlindungan kerajaan?

DR. MAHATHIR: Belum bersedia. Sebab itu kalau kita masukkan 10 peratus pun mereka bersungut. Kita hendak kuota sana, kuota sini, kita juga hendak subsidi itu, subsidi ini.

Kita anggap, diberi layanan istimewa oleh kerajaan sebagai satu perkara yang mulia. Sebenarnya tidak mulia. Umpamanya, kalau di dalam negara, kita perlu diberi perlindungan sepanjang masa, keadaan kita samalah seperti orang Red Indian yang terpaksa dilindungi kerana begitu lemah dan ini akan menjadikan kita bertambah lemah.

Mengapa orang Melayu masih belum bersedia menghadapi perubahan?

DR. MAHATHIR: Saya nampak satu daripada masalahnya ialah politik. Ada orang apabila kita hendak buat perkara yang betul, maka mereka akan ancam melalui politik supaya jangan menyokong kerajaan.

Dalam politik demokrasi ini, begitulah. Bila kita hendak buat perkara yang betul, yang baik dan yang sakit sikit, ada orang berkata, ini sebahagian daripada isu politik.

Umpamanya sudah lama saya suruh orang kita belajar bahasa Inggeris, bukan (tujuan) hendak ganti bahasa Melayu, cuma hendak belajar bahasa Inggeris. Tetapi hal ini dijadikan isu yang cukup besar hingga kita tidak dapat laksanakan.

Hari ini, kita baru sedar bahawa bahasa Inggeris itu penting. Demikian juga dengan ilmu-ilmu lain yang saya sudah desak lama, lebih kurang 30 tahun dulu supaya belajar ilmu-ilmu lain itu, tetapi ada yang kata itu sekular, politik. Yang dahsyat sekali Pas. Pas tunggu saja bila kita buat sesuatu, ia jadikan isu supaya perkara yang baik ini tidak tercapai.

Siapa yang menentangnya?

DR. MAHATHIR: Sesetengah nasionalis bahasa Melayu. Orang ini ingat kalau kamu boleh bercakap Melayu dengan baik, sudah cukup, tidak tahu bahasa lain tidak mengapa. Ada juga segelintir dalam UMNO begitu. Jadi dia cari jalan mudah, maka tak perlulah dia belajar lebih.

Kena belajar Inggeris susah, lebih senang belajar dalam bahasa Melayu. Tapi, belajar dalam bahasa Melayu pun kita lihat budak-budak Cina boleh dapat kelulusan yang lebih baik. Dia berpidato dalam bahasa Melayu lebih baik daripada budak Melayu.

Tapi dalam hal ini Datuk Seri, bantahan dan rasa tidak senang nampaknya juga datang daripada kalangan UMNO sendiri.

DR. MAHATHIR: Yalah, dalam UMNO juga ada yang semacam itu, tapi mereka tidak jadikan itu sebagai isu untuk menghentam kerajaan, ataupun cuba menghakiskan sokongan kepada kerajaan. Mereka ini kritik kerana tidak faham tujuan sebenar kita membuat sesuatu.

Tentang mentaliti subsidi dan tongkat. Terdapat dua pandangan, satu pandangan mengatakan orang Melayu tidak berubah, tidak mahu kerja kuat kerana adanya tongkat itu. Jadi kalau kita hendak ubah orang Melayu, kita kena buang tongkat itu. Tetapi bila kita hendak membuangnya, mereka kata mereka tidak boleh bersaing tanpa tongkat. Bagaimana kita hendak pecahkan mentaliti ini?

DR. MAHATHIR: Sebenarnya orang Melayu mampu buat. Kita telah buktikan apabila orang Melayu sanggup buat sesuatu, dia dapat menguasai perkara itu sama ada dari segi menuntut ilmu atau membuat kerja dengan cekap dan sebagainya. Semuanya boleh, tetapi keinginan untuk berusaha bersungguh-sungguh amat kurang sekali.

Kenapa?

DR. MAHATHIR: Saya tak tahu. Kita cuba tunjuk secara teladan. Kadang-kadang saya sudah tunjuk kita kerja kuat, bila balik dari luar negara, saya terus pergi pejabat - hendak tunjuk kerja kuat. Tetapi ada orang kata, Doktor bolehlah… itulah jawabnya.

Semua orang kagum melihat Datuk Seri bila balik pagi ini (Jumaat) boleh terus pergi kerja, tetapi mereka tidak ikut juga.

DR. MAHATHIR: Apa lagi… hendak tunjuk teladan sudah tunjuk, nak tunjuk ajar sudah ajar, marah sudah, menangis sudah, baca doa pun sudah. Semua saya dah buat.

Jadi apa yang silap dengan orang kita, Datuk Seri?

DR. MAHATHIR: Saya anggap itu sudah menjadi satu budaya bagi kita. Kalau kita lihat ke tapak projek, kita harus tanya pada diri kita, kenapa tidak ada seorang pun Melayu yang bekerja dalam projek pembinaan. Apakah orang Melayu berbeza dengan orang Jawa, orang Sumatera yang bekerja kuat di situ. Mereka kerja sampai malam. Takkan kerana kulit kita coklat seperti ini, maka kita tak boleh buat kerja.

Itu budaya kita. Kita tak tahu susah, hendak senang selalu. Kalau naik tinggi sedikit, sudah gayat. Kerja lama sikit - letih, lenguh sampai tak boleh tidur. Saya selalu pergi melawat ke tempat tapak projek, saya lihat ada orang Indonesia, orang Cina, orang India, tapi orang Melayu tidak ada. Kalau kita lihat di situ kita tidak tahu ini Malaysia, negara orang Melayu. Kita ingat ini negara asing.

Datuk Seri, adakah ini kerana orang Melayu masih dengan mentaliti lama, di mana cukup makan dan cukup pakai sudah memadai?

DR. MAHATHIR: Baiklah… kalau cukup makan, cukup pakai, jadi tak payahlah bising-bising lagi. Apa nak politik lagi. Tapi kita bising. Kita hendak itu dan ini.

Apakah Datuk Seri berpuas hati dengan kedudukan orang Melayu setakat ini?

DR. MAHATHIR: Tidak. Cuba kita `cabut’ orang Cina, apa akan jadi. Katalah kita ambil Kuala lumpur, semua yang milik Cina kita keluarkan termasuk rumah dan bangunan mereka, apa yang tinggal… Kampung Baru… itu saja.

Selepas 44 tahun kita merdeka kita cuma ada tempat di Kampung Baru saja. Yang ada bangunan tinggi-tinggi pun milik agensi kerajaan. Cuba fikirkan tentang itu.

Datuk Seri, cubalah kita buat perubahan drastik, kita cabut hak istimewa Melayu.
DR. MAHATHIR: Mereka akan menjerit. Mereka tidak dapat hak istimewa. Mereka anggap hak istimewa ini satu kemuliaan. Sebenarnya hak istimewa bukan sesuatu yang mulia. Kalau kita kena selalu pakai tongkat, bermakna kita daif. Antara orang yang kena pakai tongkat dengan orang berjalan tegak, yang mana kamu pandang tinggi? Orang yang pakai tongkat atau orang jalan tegak?

Tapi itu akan memerlukan satu pembaharuan minda.

DR. MAHATHIR: Itulah yang akan terjadi, kita akan adakan seminar, bengkel dan macam-macam. Semua bercakap, para intelek akan bercakap sepanjang masa. Mereka berdebat dan mengeluarkan idea yang menakjubkan, tetapi di bawah ia tidak ada apa-apa makna.

Bukan susah hendak kerja. Hendak kerja ada dan kita boleh beri, tetapi kita rela biar orang lain buat kerja kita.

Kita hendak dapat duit subsidi. Duit subsidi hasil daripada kerja orang lain. Duit itu bukan datang daripada kita. Kalau hendak tahu, lihat cukai pendapatan, banyak mana orang Melayu bayar, banyak mana orang lain bayar. Bermakna duit yang dapat kepada kerajaan yang kita keluarkan sebagai subsidi itu datang daripada orang lain. Sampai bila kita hendak bergantung kepada orang lain?

Hanya Datuk Seri yang boleh bercakap kepada orang Melayu secara berterus terang dalam soal ini. Tidakkah Datuk Seri mahu mengejutkan mereka sekali lagi untuk menyedarkan mereka?

DR. MAHATHIR: Saya sudah buat macam-macam, saya sudah pujuk, merayu, berdoa. Macam-macam saya sudah buat.

Ternyata orang Melayu masih menghadapi masalah besar. Boleh Datuk Seri sebutkan tiga saja masalah orang Melayu yang Datuk Seri anggap paling besar?

DR. MAHATHIR: Yang pertama, tidak sanggup untuk bekerja keras, tidak sanggup belajar bersungguh-sungguh. Tidak sanggup membuat sesuatu dengan bersungguh-sungguh.

Yang kedua, bila ada saja sesuatu perkara atau isu berlaku, kita sudah lupa tentang isu sebelum itu. Bila kita asyik tumpu pada isu itu maka kita berkelahi sesama sendiri. Ini balik kepada Melayu mudah lupa.

Yang ketiganya, apabila kita dapat sesuatu, kita tidak begitu menghargainya. Umpamanya kita dapat banyak bantuan subsidi, kalau diguna dengan baik kita akan dapat banyak untung, tetapi kita tidak gunakannya dengan baik.

Menjelang perhimpunan UMNO, orang Melayu sedang berdebat tentang soal penghapusan kuota universiti serta program matrikulasi dan MRSM dibuka kepada bukan Melayu. Ini satu isu yang betul-betul menyentuh hak istimewa Melayu. Kenapa Datuk Seri memilih waktu ini untuk melakukan perubahan ini?

DR. MAHATHIR: Saya tidak memilih masa. Saya lihat keadaan. Kalau keadaan memerlukan kita membuat tindakan, kita bertindak. Kita kata, kita perlu melakukan strategi, kalau kita buat begini, maka politik akan jadi begini. Kalau kita asyik fikir itu saja, bermakna kita tidak buat apa-apalah.

Perkara yang baik yang hendak kita buat, tidak ada yang popular. Kalau hendak jadi popular, apa saja orang minta, kita berilah. Kalau dia kata beri kuota 100 peratus kepadanya, kita beri. Kita boleh popular. Tetapi soalnya, baik atau tidak?

Perubahan ini (pembukaan MRSM dan Program Matrikulasi kepada bukan Melayu) adalah satu perubahan yang cukup besar, sebenarnya.

DR. MAHATHIR: Ini tidak besar, sedikit sangat.

Setidak-tidaknya itulah tanggapan di bawah sekarang. Sehingga bila keluar berita tentang perkara ini, pemimpin UMNO sendiri tidak dapat memberi jawapan.

DR. MAHATHIR: Kita sudah beri jawapan. Kita sudah terangkan kenapa kita buat. Di Malaysia terdapat 54 peratus Melayu, 26 peratus Cina, 10 peratus India, enam peratus bumiputera Sabah dan Sarawak (empat peratus lain-lain), itu pecahan masyarakat kita. Tetapi kita hendak latih orang Melayu dalam keadaan terasing daripada semua ini.

Esok bila kita keluar, kita hendak masuk masyarakat itu kita tidak tahu dan tidak mampu. Kerana kita tak pernah lihat orang. Jadi kalau kita sukar hendak buat demikian - orang Melayu bila keluar dari institusi pelajaran maka dia akan terkapar-kapar, hendak cakap dengan orang pun tidak tahu. Kadang-kadang bila bercakap dengan orang lain tidak tahu bahasa pun, jadi akhirnya kita dapati penuntut yang lulus dari universiti - dapat ijazah tapi tidak dapat kerja.

Sekarang orang bertanya tentang mohon kerja, ditanya lulus dari mana. Mereka jawab lulus universiti di Malaysia. Ada yang kata, Melayu yang lulus di luar negara mungkin mendapat lebih peluang kerja daripada Melayu yang lulus dari universiti dalam negara. Kenapa? Kerana universiti dalam Malaysia ini, kaum-kaum sudah tidak bercampur gaul lagi.

Dalam universiti mereka tidak campur sama sekali, hendak bagi senang tidak bercampur ialah kita masukkan sikit soal agama. Kita hendak tidur dalam satu bilik asrama, tak boleh (campur kaum lain) sebab kita nak sembahyang, kita takut kotor. Kita cari jalan supaya kita diasingkan.

Semasa saya belajar di universiti, saya bercampur dengan Cina dan India. Saya masih Melayu dan pegangan Islam saya masih kuat.

Datuk Seri menggambarkan ini penyakit orang Melayu sekarang. Apakah dengan langkah drastik yang dibuat oleh kerajaan sekarang kita akan mengubah sikap orang Melayu?

DR. MAHATHIR: Saya tidak buat benda yang drastik, baru 10 peratus. Sedangkan dalam masyarakat kita 45 peratus terdiri daripada orang bukan Melayu. Kalau hendak ikut peratusan sepatutnya 45 peratus. Tapi kita cuma masukkan 10 peratus dan kita sudah berasa takut.

Sekarang timbul kebimbangan orang Melayu. Permulaannya 10 peratus Datuk Seri, tapi apa akan berlaku selepas ini? Keretakan sudah berlaku dan itu yang membimbangkan Melayu. Apa jawapan Datuk Seri kepada kebimbangan ini?

DR. MAHATHIR: Saya tak ada jawapan. Pada pendapat saya, kalau kita mampu bersaing dengan 10 peratus, kita akan mampu bersaing dengan 20 peratus dan 30 peratus. Tapi kalau kita kata dengan 10 peratus pun kita tidak berani, maka kita tak boleh bersaing sampai bila-bila.
Datuk Seri percaya orang Melayu sudah bersedia untuk bersaing tanpa perlindungan kerajaan?

DR. MAHATHIR: Kalau mereka tidak dicuba, sampai bila-bila pun kita tidak akan tahu.

Datuk Seri, apa akan jadi jika perubahan ini tidak berjalan dengan baik? Pada tahun ini semuanya nampak baik. Tetapi dalam pengajian-pengajian kritikal seperti perubatan, pelajar bumiputera masih tidak dapat memenuhi kuota. Bagaimana hendak tangani hal ini?

DR. MAHATHIR: Kalau kita tidak biasa susah, kita tidak kuat kerja. Kita senang, hendak masuk universiti ada tempat, semua kita ada. Yang hak orang lain pun kita hendak lagi, tapi dia tidak boleh masuk, bukan sebab sudah penuh.

Inilah masalah orang Melayu - tidak pernah susah, dapat dengan senang. Kalau susah sikit, dia menjerit. Bukan susah banyak, susah sikit saja. Tidak ada yang radikal, hanya 10 peratus.

Pada fikiran Datuk Seri, dengan perubahan ini sikap Melayu boleh diubah?

DR. MAHATHIR: Saya harap begitulah, saya tidak tahu macam mana lagi. Saya mungkin salah.

Tentang pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Apakah ia akan diteruskan dan tidak mungkin berpatah ke belakang semula?

DR. MAHATHIR: Sudah tentu, kalau kita semua tidak mahu, apa saya nak buat. Saya tak ada kuasa.

Tentu Datuk Seri sedar bahawa orang Melayu perlu dibuat keputusan untuk mereka dan dipimpin mereka.

DR. MAHATHIR: Jika saya buat keputusan untuk mereka dan memimpin mereka, sepatutnya sekarang saya sudah berjaya. Saya sudah buat keputusan, tetapi tidak jadi juga. Kita kata orang Melayu tidak ada peluang hendak berniaga, saya putuskan kita beri peluang kepada mereka. Kita ada lebih 30 dana untuk tolong orang Melayu. Tapi kalau dapat duit pun, dia tidak berniaga betul-betul.

Datuk Seri, kalau pengajaran bahasa Inggeris dalam dua subjek itu untuk Tahun Satu dimulakan tahun depan, ia akan mengambil 11 tahun untuk melihat hasilnya. Apakah kita ada masa 11 tahun?

DR. MAHATHIR: Tidak, kita mahu mulakan semua sekali secara serentak. Itu kalau saya. Saya ada cara saya. Kita akan adakan kursus seperti dua tiga mata pelajaran digabungkan untuk diajar secara serentak di Tahun Lima atau apa saja cara dia belajar untuk Tahun Lima dengan mencantumkan pelajaran (dua subjek itu) dari Tahun Satu, Dua, Tiga dan Empat secara serentak. Kita boleh buat, bukan mustahil sangat tetapi kita perlu kerja kuat, kita kena belajar.

Jadi semua pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris akan dilakukan secara serentak mulai tahun depan?

DR. MAHATHIR: Semua sekali. Saya boleh. Saya tahu bagaimana hendak melaksanakannya.

Tetapi Datuk Seri, ini suatu tindakan untuk kembali kepada aliran Inggeris sebenarnya.

DR. MAHATHIR: Tidak, tidak perlu sama sekali.

Apakah salah kalau kita wujudkan semula aliran Inggeris?

DR. MAHATHIR: Kalau begitu, mati langsung bahasa Melayu. Bahasa Melayu kita guna. Kita kena hidupkan bahasa Melayu. Identiti kita terikat kepada bahasa kita.

Selain mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, kenapa tidak perkenalkan semula aliran Inggeris sebagai satu pilihan?

DR. MAHATHIR: Tak boleh. Kalau kita beri Inggeris sebagai satu pilihan bermakna orang Melayu tidak belajar bahasa Inggeris. Nilai ekonominya akan jatuh. Orang ini akan tinggi nilai ekonominya dan orang ini tidak ada nilai, terutama dalam dunia sekarang yang mana orang Cina, Jepun, Perancis dan Jerman pun belajar bahasa Inggeris.

Kenyataannya, bahasa Inggeris menjadi lingua franca dan kita pula tidak mahu belajar. Kita tidak mahu belajar sebab kita orang Melayu.

Datuk Seri, terdapat sedikit kebimbangan di kalangan pegawai pelaksana tentang guru-guru yang akan mengajar dalam bahasa Inggeris tidak bersedia dan sebagainya. Itu kita baru bercakap bagi Tahun Satu, tetapi kalau Datuk Seri hendak laksanakan secara serentak, kita boleh bayangkan masalahnya.

DR. MAHATHIR: Kalau kita hendakkan sesuatu, kita perlu terus selesaikan masalah sepanjang masa. Bila kita menghadapi sesuatu masalah, kita tidak boleh kata inilah penyelesaiannya. Kalau kita laksanakan kita akan berjaya, tidak. Penyelesaian itu tidak sepenuhnya betul. Semasa kita melaksanakan, kita akan jumpa bermacam-macam masalah lagi.

Tugas kita ialah mengatasi masalah. Kita perlu teruskan. Begitulah cara kita menangani krisis kewangan. Tiap-tiap hari kita duduk berbincang bagaimana hendak mengatasi masalah.

Datuk Seri, apakah perubahan-perubahan yang berlaku dalam beberapa bulan ini yang orang Melayu anggap sebagai perubahan drastik, boleh dilihat sebagai petanda awal ke arah penghapusan hak istimewa orang Melayu?

DR. MAHATHIR: Pada saya, yang pertama, itu bukan langkah awal untuk menghapuskan hak istimewa orang Melayu. Yang kedua, saya anggap hak istimewa orang Melayu adalah satu tongkat. Dan kalau kita selalu guna tongkat, sampai bila pun kita tempang.

Dengan lain perkataan, akan sampai satu masa kelak di mana hak ini akan dihapuskan.

DR. MAHATHIR: Kalau kita sudah jadi kaya, boleh beli harta Cina dan orang lain semuanya, kita lebih pandai daripada Cina, kalau kita masuk dalam pertandingan kita menang, apa perlunya hak istimewa orang Melayu. Orang Cina di Malaysia tidak ada hak istimewa. Mereka mungkin menganggap didiskriminasi. Tetapi mereka lebih berjaya daripada kita.

Pada fikiran Datuk Seri, kenapa orang Melayu begitu bimbang akan kehilangan hak istimewa ini?

DR. MAHATHIR: Mereka tidak ada keyakinan. Sebab itu saya minta mereka lihat bagaimana (Datuk) Azhar Mansor belayar seorang diri keliling dunia. Bila orang Melayu jumpa dia, mereka tanya dia pakai ilmu apa, mereka ingat Azhar boleh dapat ilmu ajaib yang boleh bawa dia keliling dunia.

Jika tidak ada lagi hak istimewa Melayu, apakah kita kembali seperti Malayan Union yang UMNO tentang dahulu?

DR. MAHATHIR: Kita tentang Malayan Union dulu kerana mereka beri semua sama rata pada waktu orang Melayu cukup lemah. Dalam keadaan Melayu begitu lemah, mereka akan hilang semua. Sekarang bukan kita hendak beri semua. Kita cuma beri 10 peratus saja, supaya dengan itu orang Melayu dapat uji kebolehannya.

Saya ada bercakap dengan Kolej Tunku Abdul Rahman (Kolej TAR), sebab apa tidak masukkan orang Melayu. Mereka kata ia terbuka, bila-bila masa mereka boleh masuk. Kita sediakan mereka biasiswa tetapi budak Melayu tidak mahu pergi ke Kolej TAR. Sebab apa, Cina banyak sangat dan mereka pandai-pandai pula. Tak ada permohonan Melayu ke Kolej TAR. Orang India ada juga mohon, tapi Melayu tidak mahu.

Pemuda UMNO ada membuat sedikit penyelidikan yang antara sebab Melayu tidak mahu belajar di IPTS kerana pertama tiada surau untuk bersembahyang dan satu lagi soal makanan, takut makanan yang dijual bukan halal.

DR. MAHATHIR: Kalau begitu tidak perlu pergi belajar ke luar negara. Kalau kita pergi England, takkan mereka sediakan surau di dalam Universiti Cambridge, di Universiti Nottingham. Boleh kita tentukan makanan semuanya disembelih, mereka tidak makan babi? Apa lagi alasan yang hendak kita beri?

Dasar 10 peratus kepada bukan bumiputera. Bolehkah Datuk Seri beri satu jaminan bahawa ia akan kekal 10 peratus?

DR. MAHATHIR: Bukan saya yang boleh beri jaminan. Ini untuk masa depan. Mengenai masa depan ini saya tidak tahu. Saya mungkin tiada lagi.

Apakah harapan Datuk Seri kepada ahli-ahli UMNO menjelang perhimpunan kali ini selepas Datuk Seri memimpin selama 21 tahun?

DR. MAHATHIR: Saya gagal (ketawa sinis). Saya gagal mencapai perkara yang lebih penting - bagaimana hendak mengubah orang Melayu. UMNO pun kadang-kadang menjadi rosak kerana terlampau berebut hendak dapatkan tempat sampai sanggup kalau tidak dapat tempat, bagi orang UMNO kalah.

Tidakkah itu satu kenyataan yang penuh kekecewaan?

DR. MAHATHIR: Tak tahulah… nak kata kecewa. Tapi saya bercakap berkenaan benda yang benar dan nyata. Saya tidak suka berselindung. Saya tidak suka menjadi begitu diplomatik. Saya kata apa yang saya fikir benar. Kalau orang kata tidak benar, tidak apalah. Tapi ini yang saya rasa dan lihat.

Katalah jam dapat diputar ke belakang dan Datuk Seri berada pada 28 Jun 1981, hari pertama Datuk Seri menjadi Presiden UMNO. Apa yang akan Datuk Seri lakukan?

Dr. Mahathir: Saya mahu jadi ahli biasa sahaja (sekali lagi ketawa sinis). Sebab saya tak boleh buat apa-apa (untuk mengubah orang Melayu).

No comments: