Sunday, May 10, 2009

Kerajaan mana yang haram di Perak?



Semua orang tahu tentang halal dan haram. Tetapi tak ramai yang tahu tentang yang syubhah iaitu perkara yang tidaklah jelas halal atau haramnya. Contoh penggunaan adalah seperti berikut:


Kumpulan yang diwujudkan secara syubhah

PAS contohnya adalah halal, PKR adalah halal dan DAP adalah halal kerana didaftarkan tetapi PR adalah kumpulah Syubhah apabila disamakan dengan BN yang berdaftar secara halal.


Kuasa di Perak yang syubhah

Selepas PRU 12, sekumpulan 3 parti yang halal telah cuba mewujudkan satu pakatan Syubhah bagi menidakkan satu kumpulan yang halal. Bijak menggunakan interpretasi perundangan yang ada, mereka berhujah bahawa walau tidak didaftarkan secara rasmi sebagai satu kumpulan yang halal, Sultan tidaklah patut menidakkan majoriti yang mereka ada. Walaupun ini dibuat secara syubhah, Sultan tidaklah pula menganggap manipulasi ini sebagai haram lantas memperkenankan pakatan tidak rasmi ini memerintah negeri Perak juga secara syubhah.


Cubaan merampas kuasa persekutuan yang syubhah

Setelah beberapa lama memerintah secara adil dan saksamanya, ketua De Facto mereka telah dilihat cuba menggunakan cara tidak halal untuk merampas kuasa yang dimenangi BN. Sekalipun gagal, cara ini tidaklah dikategorikan sebagai haram walaupun ia berstatus syubhah. Malah, semua penyokong nampaknya tidak kisah dengan cara syubhah ini apabila ia melibatkan parti pilihan mereka.


Cubaan memberhentikan ADUN menggunakan surat syubhah

Kejutan berlaku apabila ada 3 ADUN pakatan syubhah telah memilih untuk keluar dari kumpulan mereka di Perak dan mengistiharkan diri mereka bebas tapi menyokong BN. Kumpulan syubhah yang tidak berparti ini telah cuba diberhentikan, juga dengan cara menggunakan surat yang syubhah. Namun begitu, surat itu kemudiannya dihukumkan haram oleh mahkamah sepertimana yang berlaku pada 1980an kepada wakil rakyat UMNO maka 3 ADUN kekal memegang jawatan mereka.


Cubaan mengekalkan MB yang haram

Oleh kerana surat itu haram maka tidaklah dapat dikeluarkan 3 ADUN ini. Dengan kekalnya status mereka, maka diketahuilah umum bahawa MB syubhah yang ada pada waktu itu sudah automatik menjadi haram kerana hilangnya sokongan. Maka, tanpa mengira akan statusnya itu, MB haram tersebut telah mengemukakan cadangan untuk membubarkan DUN Perak. Sultan mengira cadangan tersebut tidak halal kerana ia dibuat oleh MB yang haram lantas tidak memperkenankannya. Oleh kerana Perak tetap memerlukan seorang MB yang punya majoriti, lantas dilantik baginda seorang MB halal menggantikan yang haram namun ditentang beberapa kelompok orang.


Cubaan menggantung 10 ADUN dengan hukuman yang haram

Walaupun mereka gagal memecat 3 ADUN itu, mereka nampaknya masih lagi mahu mencuba cara tidak halal untuk mengeluarkan 10 orang ADUN dengan menggantung mereka supaya MB haram dapat mengekalkan jawatan. Berbeza dengan keputusan menggantung Gobind Singh Deo yang dibuat hasil debat 17 parti halal di dalam dewan, penggantungan 10 ADUN ini hanya dibuat oleh satu jawatankuasa yang hanya dianggotai oleh kumpulan syubhah saja. Lebih tidak halal apabila ia dibuat tanpa debat dalam dewan sepertimana Gobind lalu mahkamah kemudian memutuskan keputusan penggantungan ini haram.


Cubaan menghalang 10 ADUN memasuki dewan dengan menggunakan hukuman yang haram

Kumpulan syubhah lantas cuba menggunakan cara tidak halal untuk mengagalkan dewan bersidang tetapi gagal. Mereka kemudiannya cuba menghalang 10 ADUN dari memasuki dewan berdasarkan keputusan haram mereka tetapi sudah tentulah ia tidak akan didengari. Alasan ini digunakan selama lebih 5 jam.


Cubaan mengekalkan Speaker yang haram

Setelah gagal menghalang menggunakan hukuman yang haram, speaker yang pada waktu itu masih halal ini cuba pula menghalang usul yang halal untuk memecat beliau. Oleh kerana keadaan masih gagal dikawal oleh Speaker maka Timbalan Speaker yang halal kemudiannya mengambil alih tugas Speaker itu secara automatik. Dengan penerimaan usul untuk memecat Speaker oleh Timbalan Speaker yang halal, maka Speaker yang halal tadi telah menjadi haram dengan rasminya. Malangnya, speaker yang haram ini cuba untuk mengekalkan statusnya yang haram itu sehinggalah dibawa keluar.

Sekarang cerita sikit kuasa siapa yang sebenarnya haram?

UPDATE: Mahkamah Tinggi memutuskan Nizar masih lagi MB yang halal sehingga diundi keluar secara halal di dalam dewan.

Penyokong UMNO wajar menerima keputusan mahkamah dengan hati yang terbuka sepertimana Dr Zambry. Walaupun rayuan masih boleh dilakukan untuk diputuskan Mahkamah Persekutuan, kita pelu bersedia untuk menghabiskan duit rakyat lagi dengan pilihanraya.

Rakyat yang tidak suka politik tidak perlu marah kerana hal sekecil ini. Berapa sangatlah nilai 20 juta ringgit demi hak Rakyat Perak?

Statistik cuma menunjukkan hanya 27000 orang kehilangan pekerjaan di seluruh negara setakat ini. Belum dikira lagi mereka yang OTnya dinafikan dan gajinya dipotong yang mungkin gembira kerana Pakatan Rakyat begitu mengambil berat tentang kebajikan mereka.

Sungguh contra-intellect.